BATAMCLICK.COM-SINGAPURA: Ada kado istimewa bagi kaum wanita muslim di Singapura, masih sempena HUT negara tersebut. Ya, sejak november 2021 nanti, seluruh juru rawat (perawat) wanita beragama Muslim, akan diperbolehkan menggunakan jilbab atau hijab.
Hal tersebut disampaikan oleh Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong, pada Rapat Hari Kebangsaan, Minggu (29/8/2021) malam.
Menurutnya langkah itu adalah satu pengubahsuaian yang dibuat secara berhati-hati dan sejajar dengan nilai-nilai yang berubah dari generasi ke generasi, dan aspirasi pelbagai kumpulan yang semakin meningkat.
“Saya harap keputusan ini akan diterima semua pihak dengan semangat yang betul, dalam usaha untuk mengukuh iltizam bersama kita bagi masyarakat berbilang kaum dan agama Singapura,” katanya.
Berucap dalam bahasa Melayu, Encik Lee menarik perhatian bahawa soal pemakaian hijab oleh jururawat Muslim bukanlah isu baru dan beliau sendiri telah membincangkan perkara ini dengan pemimpin agama dan masyarakat.
Menurut beliau, pemimpin itu telah menerangkan mengapa pemakaian tudung penting kepada masyarakat Melayu/Islam dan berharap pemerintah akan mengubah peraturan itu.
“Saya katakan kepada mereka: ‘Saya faham hasrat anda. Saya hargai pandangan anda dan akur tentang aspirasi masyarakat Melayu/Islam’.
“Tetapi saya juga berharap anda turut memahami pertimbangan dan keprihatinan nasional pemerintah.”
Menurut beliau, berhubung soal tudung, keprihatinan utama pemerintah ialah keharmonisan kaum.
Pemerintah juga wajib memastikan bahawa sebarang perubahan terhadap peraturan mengenai tudung ini, harus merapatkan masyarakat Singapura yang berbilang kaum.
“Kita tidak mahu perubahan ini meluaskan jurang antara kaum dan melemahkan kita,” tambah beliau.
Pemerintah bagaimanapun tidak dapat membenarkan tudung bagi murid-murid sekolah dan para pegawai perkhidmatan umum berseragam, termasuk SAF dan polisi, atas sebab-sebab yang sangat genting.
Bagi para jururawat pula, katanya, pemerintah mempunyai sebab-sebab yang munasabah untuk tidak membenarkan tudung.
“Namun, pertimbangan untuk membenarkan atau tidak membenarkannya adalah agak seimbang. Dari masa ke masa, keseimbangan baru boleh dibuat secara berhati-hati dan bertahap-tahap,”ujar beliau.
Menjelaskan perkara itu dengan lebih lanjut dalam ucapan bahasa Inggeris kemudian, beliau berkata isu tudung adalah isu kebangsaan dan bukan sahaja melibatkan masyarakat Islam.
Pemerintah pula telah memantau perkara itu dengan rapi sejak pertemuan beliau dengan pemimpin Muslim pada 2014.
Sejak itu, katanya, pemerintah mendapati interaksi antara kaum kekal selesa dan orang bukan Islam biasa melihat wanita Muslim bertudung.
Wanita Muslim bertudung pula lazimnya agak selesa berinteraksi dengan orang bukan Islam.
Beberapa bulan lalu, PM Lee berkata beliau bertemu dengan pemimpin Muslim sekali lagi, dan memberitahu bahawa pemerintah kini bersedia dan akan memutuskannya menjelang Rapat Hari Kebangsaan.
Rapat sekitar dua jam itu disampaikan dalam format baru di hadapan penonton seramai 2,000 di studio Mediacorp, dan aplikasi Zoom sebagai langkah mengelak koronavirus. Namun ia tetap disiarkan secara langsung menerusi televisyen dan dalam saluran seperti biasa.***
Artikel ini telah terbit di beritaharian.sg









